Sambutan Hari Belia, hargai sumbangan golongan muda

KUCHING: Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022 akan diadakan pada 19 Oktober sehingga 22 Oktober ini di Dataran Perayaan Petra Jaya.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pengunjung akan hadir pada sambutan yang akan diadakan selama tiga hari itu.

“Untuk perasmian, khemah yang disediakan boleh menampung lebih 2,000 pengunjung, namun untuk sambutan selama tiga hari itu, lebih 10,000 pengunjung disasarkan hadir,” katanya semasa sidang media Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Sarawak 2022 di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur 2, hari ini.

Menurutnya lagi, penganjuran ini merupakan kali pertama selepas dua tahun pandemik Covid-19 yang kali terakhir diadakan pada Mei 2022 di Asajaya dan akan diadakan dalam skala besar berbanding 2020 yang terpaksa dihadkan bagi mematuhi arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Majlis perasmian dijangka disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 22 Oktober.

Edisi 2022 menyaksikan sebanyak 18 program dirangka sebagai pengisian sepanjang acara berlangsung termasuk pameran kerjaya, aktiviti sukan, pertandingan, perniagaan, riadah dan persembahan nyanyian dari artis jemputan tanah air.

Tambah Karim, tema sambutan ialah “Belia Peneraju Masa Depan Sarawak” sebagai pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan golongan belia kepada pembangunan negeri Sarawak.

Sementara, kemuncak program bakal menyaksikan penyampaian Anugerah Belia Negeri bagi kategori individu lelaki dan wanita yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 dan Anugerah Persatuan Belia Negeri dengan habuan RM10,000 bagi johan diikuti naib johan, RM7,000.

Suara Sarawak