MIRI: Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berlangsung meriah di Hotel Pullman Miri Waterfront, di sini, malam tadi.

Ketibaan Tun Taib serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib turut diiringi Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Para tetamu kemudiannya dihiburkan dengan persembahan pembukaan berkonsepkan irama klasik yang mengimbau nostalgia lama serta tayangan video pendek potret Tun Taib dimainkan.

DIRGAHAYU…Tun Taib (dua dari kanan tengah) serta isteri Toh Puan Raghad berada di pentas untuk memotong kek. Turut kelihatan, Abang Johari (empat kiri), Uggah (lima kiri) dan tetamu kehormat yang lain. Photo Japen

Majlis diteruskan dengan simbolik memotong kek oleh Tun Taib sambil disaksikan Toh Puan Raghad serta tetamu kehormat yang lain.

Sementara itu, majlis diserikan lagi dengan persembahan menarik daripada artis-artis tempatan diiringi kombo D’Aspirasi Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak.

Para tetamu yang hadir juga disajikan dengan persembahan artis-artis dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sarawak.

RAKAM KENANGAN… Tun Taib (tengah) berserta isteri, Toh Pian Raghad merakam kenangan bersama Lee Kim Shin (pertama kiri) Abang Johari (dua kiri) serta Puan Sri Juma’ani (dua kanan). Photo Japen

Acara kemuncak majlis turut memainkan tayangan video montaj bertajuk ‘Father Of Unity’ yang memaparkan perjuangan Tun Taib dalam usaha menyatupadukan dan mengekalkan keamanan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.

Dalam pada itu, persembahan ‘Ai Ai Twist’ oleh setiap artis yang telah membuat persembahan menjadi acara penutup sebelum Tun Taib serta isteri, Toh Puan Raghad berangkat meninggalkan majlis.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan Sarawak selaku menteri bertanggungjawab Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak (DUN) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar; Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta tetamu kenamaan yang lain.

Suara Sarawak