ASAJAYA: Operasi hari kedua mencari dan menyelamat (SAR) Faddrul Razie Zaini, 30, yang dikhuatiri hilang di laut Kampung Semera bermula seawal jam 8 pagi, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan, sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya terlibat dalam operasi tersebut.

Katanya, operasi SAR turut dibantu dengan kekuatan anggota polis, Angkatan Pertahanan Maritim Malaysia (APMM), APM, RELA dan juga penduduk kampung.

Pasukan bomba yang bertugas pada hari pertama SAR dalam usaha mengesan mangsa di lokasi kejadian.

“Operasi dilaksanakan dalam radius 5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai jatuh dengan kaedah pencarian di permukaan air.

“Lokasi kejadian dianggarkan sejauh dua batu nautika dari pantai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Setakat ini, kenyataan tersebut mengesahkan status mangsa masih belum dijumpai.

Terdahulu, mangsa dilaporkan terjatuh dari perahu selepas dayung dipegangnya patah.

Suara Sarawak