MARA KE FINAL…Barisan kesebelasan utama Saratok FA. – FOTO FAIZAL BUJANG

BETONG: Skuad pilihan Saratok FA berjaya mara ke perlawanan akhir Liga Betong 2022.

Ia hasil kemenangan tipis (1-0) diperoleh ke atas Semarang Village United pada aksi terakhir Kumpulan A di Kompleks Sukan Betong, semalam.

Sekali gus, mengekalkan rekod tanpa kalah keempat-empat perlawanan buat anak-anak buah Awang Jobli Awang Bidin musim ini dan meletakkan mereka di tangga teratas dengan 12 mata.

Gol tunggal Saratok FA semalam dijaringkan oleh Kamarulzaman Abdul Razak minit ke-21.

“Gembira dengan kejayaan diperoleh pemain dengan kemenangan tersebut.

“Tiga mata yang cukup berharga, bukan sahaja ia mengekalkan rekod tanpa kalah kami musim ini, malah memuktamadkan Saratok FA layak ke perlawanan akhir,” ujar pengurus pasukan, Mohammad Faiz Wahi ketika ditemui wartawan selepas perlawanan.

Tegas Faiz, jelas kelihatan strategi diguna pakai ketua jurulatih (Awang Jobli) pada perlawanan semalam berhasil.

Ditambah semangat juang tinggi yang dipamerkan para pemain sepanjang perlawanan.

Apa pun, beliau menghambur ucapan tahniah kepada semua pemain, pegawai dan jurulatih atas komitmen yang diberikan.

Skuad Saratok FA musim ini turut dikuatkan oleh dua bintang import yang juga bekas pemain Kuching City FC iaitu Mohd. Hairol Mokhtar dan Ismail Bujang.

Suara Sarawak