KUCHING: Sarawak bakal memperkenalkan Ordinan Ombudsman untuk mengukuhkan lagi amalan integriti di negeri ini.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya,beberapa pengukuhan ordinan akan dilakukan melalui sesi perkongsian dengan negara-negara maju seperti Skandinavia, Hong Kong, Singapura dan sebagainya yang telah lama mewujudkan akta berkaitan ombudsman.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg amat berbangga dengan persediaan Sarawak ke arah untuk memperkenalkan Ordinan Ombudsman.

Abang Johari (lima kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama rombongan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak yang diketuai oleh Juanda (lima kiri) dan Rokiah (tiga kiri) ketika kunjungan hormat.

“Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak akan terus ke hadapan dengan mandat yang diberi oleh Premier Sarawak bagi memastikan matlamat 2030 dapat dicapai,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, semalam.

Tambahnya, antara lain kunjungan hormat itu adalah untuk melaporkan dapatan Jawatankuasa Ombudsman Sarawak bagi tahun 2022.

“Jawatankuasa ini diberi tanggungjawab untuk menyemak proses dokumen dalam perlaksanaan projek di negeri ini.

“Di samping memberi cadangan untuk memperkukuhkan perlaksanaan projek-projek di negeri ini bagi memastikan integriti projek-projek dapat mencapai matlamat Kerajaan Sarawak,” jelasnya.

Suara Sarawak