KUCHING: Sarawak telah membuktikan peranan penting dalam membentuk dasar dan polisi progresif dalam Parlimen sepanjang empat tahun dalam Parlimen penggal ke-14.

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni menyifatkan penggal tersebut merupakan suatu landskap politik mencabar dan berwarna-warni.

“Bermula sebagai pembangkang dan beralih menjadi kerajaan apabila Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama-sama menubuhkan kerajaan pada Februari 2020.

“Dalam tempoh empat tahun, tiga Perdana Menteri juga merupakan senario baharu kepada ahli politik berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh itu katanya, Sarawak turut memainkan peranan di parlimen dengan konsep utamakan Sarawak serta meletakkan perjuangan berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Bagi mencapai kestabilan politik, kerajaan juga meminda perlembagaan dan memperkenalkan akta larangan lompat parti bagi menghalang ahli Parlimen bertukar parti selepas memenangi pilihan raya,” tambahnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan ke atas sokongan penuh yang diberikan oleh masyarakat dan pengundi di Parlimen Sibuti.

Tegas beliau, GPS telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi persiapan pilihan raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sementara, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan pembubaran Parlimen hari ini.

Suara Sarawak