MICHAEL Tiang tertarik dengan replika bangunan ketika melawat reruai pameran pada Jerayawara Perumahan dan Hartanah Sibu 2022

SIBU: Kerajaan Sarawak berjaya membina 3,506 unit rumah mampu milik melalui Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di bawah projek Rumah Spektra Permata (RSP).

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee berkata, ia menunjukkan komitmen yang tinggi kerajaan negeri untuk membantu keluarga berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.

Terdahulu, tegasnya, kerajaan menyasarkan untuk membina 2,391 unit RSP di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021- 2025).

“Bagaimanapun, ia telah melebihi sasaran awal,” jelas Adun Pelawan itu ketika berucap merasmikan Jerayawara Perumahan dan Hartanah Sibu 2022 di sini, kelmarin.

Beliau berkata, harga jualan unit rumah di bawah RSP itu antara RM90,000 hingga RM160,000 dan disiapkan dalam tempoh 10 bulan.

“RSP yang dilaksanakan di bawah HDC untuk golongan berpendapatan rendah terutama di kawasan luar bandar bagi membolehkan mereka memiliki rumah sendiri melalui Skim Penempatan Semula Jabatan Tanah dan Survei. Bagi tujuan itu (pembinaan RSP), jelasnya, Kerajaan Sarawak akan mengukuhkan pembiayaan bank melalui Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd dengan memberi modal sebagai pinjaman kepada pembeli rumah.

Dalam perkembangan lain, Tiang berkata, sehingga 30 September lalu, sebanyak 566 permohonan Skim Bantuan Deposit Perumahan (HDAS) diterima dan 400 diluluskan melibatkan 68 peratus untuk golongan B40 manakala 32 peratus untuk golongan M40.

Menerusi skim yang diuruskan Mutiara Mortgage & Credit Sdn Bhd jelasnya, Kerajaan Sarawak menyediakan deposit rumah maksimum RM10,000 atau 10 peratus daripada nilai rumah kepada penerima yang layak.

“Deposit yang diberikan adalah untuk penerima, tiada bayaran balik diperlukan,” jelasnya.

“Kami faham paling sukar bagi seorang belia atau keluarga muda untuk memiliki rumah pertama mereka adalah untuk mengeluarkan deposit perumahan atau bayaran muka untuk membeli rumah.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak memperkenalkan HDAS bagi membolehkan belia dan pembeli rumah kali pertama memiliki rumah.

“Inisiatif ini juga akan memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan seperti pemaju perumahan, pembekal perkakasan dan banyak lagi,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, Sarawak amat bertuah kerana mempunyai barisan pemimpin yang berwawasan dan mementingkan kesejahteraan rakyat sejak dahulu dan sekarang diterajui Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberi contoh dasar Kerajaan Sarawak yang mementingkan rakyat agar mampu memiliki rumah sendiri.

“Beliau (Abang Johari) sudah berkali-kali menyatakan hasrat dan harapannya agar semua penduduk di Sarawak mampu membeli rumah,” tegas Tiong. Jerayawara yang bermula dari 14 hingga 16 Oktober ini di lobi Wisma Sanyan di sini adalah anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (Sheda) Sibu.

Pengerusi Sheda Sibu Cecil Lau, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Kaunselor Clarence Ting Ing Horh dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai turut hadir.

Suara Sarawak