KUCHING: Sarawak dan Singapura akan bekerjasama untuk kepentingan bersama dalam penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) termasuk kredit karbon.

Kerjasama itu termeterai dalam perjumpaan antara Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Menteri Perdagangan dan Industri Kedua Singapura Dr Tan See Leng sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura di Singapura, semalam.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan dan Industri Kedua Singapura, kumpulan kerja bersama akan ditubuhkan untuk pertukaran dasar dan mengenal pasti projek yang berpotensi untuk dilaksanakan.

“Singapura dan Sarawak berkongsi hubungan yang telah lama terjalin, dengan perdagangan serta pelaburan kami telah berkembang selama bertahun-tahun dalam bidang seperti pertanian.

“Perubahan iklim dan kemampanan adalah bidang baharu bagi kerjasama ini menerusi kumpulan kerja dalam penyimpanan dan penangkapan karbon serta kredit karbon,” katanya.

Manakala memetik Tan, beliau berkata kumpulan kerja menunjukkan komitmen antara kedua-dua wilayah itu dalam bidang kepentingan bersama seperti penangkapan dan penyimpanan karbon serta kredit karbon.

“Kerjasama antarabangsa adalah penting untuk menggalakkan tindakan iklim serantau dan global bagi mencapai matlamat Perjanjian Paris,” katanya.

Sementara, Abang Johari berkata kerjasama itu akan menjadi contoh bagaimana kolaborasi antarabangsa boleh bekerjasama bagi mempercepatkan peralihan kepada tenaga hijau dan masa depan yang lebih mampan.

“Kerjasama ini adalah mengenai sokongan ekonomi kita sambil menyumbang kepada global dalam menangani perubahan iklim.

“Kita perlu memikirkan semula pendekatan terhadap pembangunan dalam konteks planet yang semakin panas,” katanya sambil berharap agar kerjasama itu berjaya.

Suara Sarawak