KUCHING: Anugerah Emas Destinasi Tahunan merupakan antara penghargaan yang diperoleh pemain industri pelancongan di negeri Sarawak menerusi Anugerah Emas Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) Ke-6.

Penganugerahan tersebut diserahkan kepada Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), susulan kejayaan menjadi lokasi pelancongan pilihan di Malaysia.

Selain itu, Sarawak turut merangkul lebih 20 anugerah dalam acara tahunan MTC yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting (tengah) menyampaikan Anugerah Emas Inspirasi Ikon Pelancongan Wanita Dalam Pelancongan kepada Datuk Seri Nancy Shukri, disaksikan (kiri) Setiausaha Tetap Kementerian Hii Chang Kee, Presiden MTC Uzaidi Udanis dan Pengerusi Pelancongan Malaysia Tan Sri Ong Hong Peng.

Antaranya termasuk anugerah Ikon Pelancongan Terbaik (Pelancongan Inovatif) diberika kepada Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah.

Manakala, anugerah Ikon Pelancongan Wanita Inspirasi dalam Pelancongan diserahkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri.

Untuk rekod, anugerah yang diberikan kepada individu dan organisasi oleh MTC atas kecemerlangan dan sumbangan mereka kepada kejayaan industri pelancongan di Malaysia.

Menurut Presiden MTC Uzaidi Udanis, anugerah tersebut diberikan sebagai tanda penghargaan dan penghormatan tinggi kepada mereka yang telah berinovasi dan sentiasa bergerak ke hadapan.

“Melalui acara berprestij yang diadakan buat julung kalinya di Sarawak, diharap dapat menyerlahkan lagi destinasi permata tersembunyi yang ditawarkan di negeri ini,” katanya.

Suara Sarawak