SIMBOLIK PERASMIAN… Fatimah menyempurnakan simbolik Penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi (SKeP2022) di Unimas, hari ini. Turut kelihatan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimas Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie (kiri) dan Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi (kanan).

KOTA SAMARAHAN: Sarawak menduduki tempat keempat tertinggi di Malaysia dalam isu kesihatan mental, kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) itu berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2015 merekodkan kadar isu kesihatan mental di negeri ini adalah 35.8 peratus.

“Kadar tersebut lebih tinggi di luar bandar dan dalam kalangan penduduk bumiputera.

“Masalah yang lazim adalah kemurungan dengan 35 peratus dalam kalangan remaja 16 tahun ke atas dan 16 peratus di bawah umur 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Simposium Kebangsaan Kesejahteraan Psikologi (SKeP2022) di Arena Gemilang, DeTAR Putra Unimas, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, semasa Covid-19 melanda dunia permintaan untuk perkhidmatan kaunseling dan psikologi serta sokongan adalah lebih tinggi di Sarawak.

Suara Sarawak