Datuk Len Talif Salleh merakam gambar kenangan bersama-sama 120 graduan ABM dan CIDB Teknologi 2022 di Kuching, hari ini.

KUCHING: Bidang pembinaan Sarawak perlu memfokuskan kepada latihan berkemahiran tinggi yang menggunakan teknologi terkini serta menawarkan gaji lumayan dalam bagi memenuhi keperluan industri.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, penggunaan teknologi maju bukan lagi satu pilihan pada era digital masa kini.

“Malah ia adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan sekiranya kita tidak mahu industri pembinaan ketinggalan daripada kemajuan teknologi yang pesat dan terkini.

“Oleh itu, kita perlu mengalih latihan pekerja binaan daripada hanya menyusun batu-bata kepada penggunakan teknologi termaju termasuk dalam melakukan kerja-kerja asas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sarawak dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Teknologi 2022 mewakili Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof di Kuching, hari ini.

Menurutnya, tumpuan kepada latihan tersebut penting untuk mewujudkan tenaga kerja rakyat tempatan serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga asing dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri ini.

Untuk rekod, sehingga September 2022, lebih dari 65,000 pekerja mahir binaan berjaya dilahirkan olen ABM Wilayah Sarawak sejak penubuhannya pada tahun 2000 dan CIDB Teknologi yang memulakan operasi pada tahun 2018. Jumlah tersebut merangkumi pelatih di bawah Program Belia dan Personel Binaan.

Menerusi program itu, peserta akan mengikuti pelbagai kursus kemahiran yang berimpak tinggi, termasuklah operasi kren Bergerak, pemasangan perancah, kimpalan (Welding) dan lain-lain.

Suara Sarawak