Abang Johari menyampaikan cenderamata kepada mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Ik Pahon Joyik.

KUCHING: Sarawak memerlukan kepakaran dan pengalaman pesara kerajaan bagi memastikan matlamat Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030) mampu dicapai.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia termasuk membantu mencapai sasaran Sarawak untuk negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Para pesara kerajaan yang dilihat berkebolehan untuk menyumbang idea dan tenaga mungkin akan dipanggil semula untuk berkhidmat.

“Ia bagi membantu kerajaan negeri mencapai objektif dan dasar yang telah dirangka khususnya PCDS2030 yang berbaki lapan tahun lagi,” katanya pada Majlis Sekalung Budi Penjawat Awam Sarawak, di sini, malam tadi.

Menurutnya, antara pesara kerajaan yang mungkin dipanggil semula termasuk mantan Setiausaha Kerajaan Negeri dan mantan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Sarawak.

Abang Johari berkata perkataan ‘pencen’ tidak seharusnya wujud dalam kamus hidup pesara kerajaan.

Suara Sarawak