KUCHING: Ketua jurulatih Sarawak United FC (SU FC), S. Balachandran mengingatkan barisan pemainnya agar memanfaat peluang beraksi di laman sendiri menentang Kelantan FC, malam esok.

Dengan kata lain, harus memuktamadkan perlawanan di Stadium Negeri, Petra Jaya itu dengan kemenangan sebagai bekalan untuk aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 31 Oktober nanti.

“Kita perlu menang perlawanan malam esok. Kelebihan beraksi di laman sendiri harus dimanfaat sebaik mungkin,” ujar Bala kepada Arena Suara Sarawak.

Katanya, barisan pemain sudah siap sedia untuk menghadapi gelora sebenar saingan piala berprestij negara itu.

Menurut Bala, beliau sudah mempersiapkan jentera pasukannya untuk berdepan wakil dari pantai timur itu.

“Kami tetap berwaspada dengan ancaman pasukan pelawat. Saya percaya Kelantan FC akan cuba untuk melakukan kejutan malam esok,” tambah Bala.

Sambil itu, Bala dijangka melakukan sedikit rombakan terhadap barisan kesebelasan utama yang diturunkan dengan mengambil kira beberapa pemainnya yang masih belum cergas sepenuhnya akibat dibelenggu kecederaan.

KETUA JURULATIH…S.Balachandran.

Suara Sarawak