KUCHING: Sarawak memerlukan lebih banyak peruntukan di bawah Bajet 2023, kata Penganalisis Politik Datuk Peter Minos.

Menurutnya, peruntukan yang diterima Sarawak sebanyak RM5.4 bilion, berbanding Sabah yang mendapat RM6.3 bilion sedangkan negeri ini lebih besar dari segi fizikal serta memerlukan lebih banyak dana.

“Kita tidak tahu apakah kriteria atau asas yang digunakan oleh Kerajaan Persekutuan. Ia tidak dijelaskan.

“Namun yang pasti coraknya adalah sama seperti tahun-tahun lepas dengan Sarawak mendapat kurang daripada Sabah.

“Kami tidak iri hati dengan Sabah, tetapi ia tidak kelihatan adil,” katanya dalam satu kenyataan mengulas mengenai Bajet 2023.

Beliau juga berkata peruntukan untuk Sabah dan Sarawak adalah kecil, memandangkan jumlah perbelanjaan untuk tahun depan ialah RM372.36 bilion.

“Jadi RM6.3 bilion kepada Sabah hanyalah 1.7 peratus, dan RM5.4 bilion kepada Sarawak ialah 1.5 peratus.

“Sedangkan kedua-dua negeri ini berhak mendapat lebih peruntukan untuk keperluan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, air terawat, klinik dan sebagainya untuk rakyat yang masih bergelut dari segi ekonomi khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.

Tegasnya, peruntukan yang lebih amat diperlukan untuk memerangi kemiskinan terutamanya di luar bandar.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Sarawak dapat mengejar pembangunan Semenanjung yang jauh lebih maju dengan dana yang begitu kecil diperuntukkan kepada negeri ini.

“Jadi, nampaknya kita perlu bergantung kepada dana sendiri, yang tidak mencukupi. Walaupun diharapkan Kerajaan Persekutuan boleh membantu, namun ia tidak mencukupi.

“Sekiranya rancangan atau peruntukan belanjawan negara semasa diteruskan seperti ini, harapan yang amat kecil untuk Sabah dan Sarawak dapat setanding dengan Semenanjung, dari segi ekonomi.

“Dan ini tidak memberi petanda yang baik kepada kita dan juga tidak baik untuk negara kita,” katanya lagi.

Suara Sarawak