Awang Tengah bersalaman dengan Yang Mulia (His Excellency) Duta Besar Republik Kazakhstan ke Malaysia Bulat Sugurbayev (lima kiri) disaksikan yang lain

KUCHING: Sarawak kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan untuk projek pembuatan di Malaysia, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menurutnya, Sarawak merekodkan RM23.17 bilion (USD5.01 bilion) berdasarkan pelaburan yang berjaya diluluskan pada tahun 2020 dan 2021.

“Melihat kepada aktiviti perniagaan yang berlaku antara Malaysia dan Kazakhstan, wujud kerjasama antara kedua-dua buah negara.

“Pada 2021, eksport Malaysia ke Kazakhstan mencecah USD88.5 Juta terdiri daripada elektrik dan elektronik, getah, pertanian, pembuatan berasaskan minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

“Manakala, import dari Kazakhstan ke Malaysia pula bernilai USD10.8 Juta, terdiri daripada perkilangan logam, kelengkapan pengangkutan, produk kimia, mesin, peralatan dan alat ganti serta produk petroleum ditapis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Forum Peluang Perniagaan Kazakhstan di Hotel Grand Margherita, di sini, hari ini.

Tambahnya, terdapat banyak potensi untuk kerjasama antara kedua-dua buah negara seperti dalam sektor perkayuan dan pelancongan, namun momentum tersebut terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

Oleh itu katanya, Forum Peluang Perniagaan yang diadakan ini mampu memberi peluang kepada kita untuk berkenalan semula dan menjalin hubungan serta rangkaian baharu selepas mengharungi pandemik.

Suara Sarawak