TOKYO: Wawasan Sarawak untuk menjadi hab hidrogen di rantau Asia memerlukan tindakan dan langkah yang tepat, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, Sarawak telah berbincang dengan perusahaan besar dari Jepun dan Korea yang komited untuk bekerjasama dengan negeri ini dalam menghasilkan hidrogen bagi memperkasakan industri di negara-negara tersebut.

“Dengan kekuatan dalam tenaga boleh diperbaharui, Sarawak sudah bersedia untuk menjadi pengeluar dan pembekal hidrogen hijau utama di rantau ini menjelang 2028,” katanya.

Abang Johari bercakap di Forum Hidrogen Tokyo anjuran Kerajaan Metropolitan Tokyo, Jepun, semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberi ulasan sebagai penceramah panel menjawab kepada soalan moderator di Forum Hidrogen Tokyo anjuran Kerajaan Metropolitan Tokyo, semalam.

Mengulas lanjut, katanya dalam memerangi ancaman krisis perubahan iklim dunia berikutan corak cuaca yang tidak menentu, ia amat memerlukan usaha bersepadu masyarakat global.

Ujarnya, dalam memainkan peranan tersebut, Kerajaan Sarawak telah meletakkan dasar yang sejajar dengan protokol perubahan iklim dunia yang direka ke arah penyahkarbonan.

Berkongsi pengalaman Sarawak dalam tenaga hidrogen, beliau berkata ia bermula dengan pengeluaran hidrogen perintis pada 2016 di bawah Sarawak Energy yang membekalkan gas untuk penggunaan bas dan kereta hidrogen di Kuching.

Terdahulu, Abang Johari dan delegasinya mengadakan lawatan ke Stesen Hidrogen Tokyo Oi dan Muzium Hidrogen Tokyo, diikuti kunjungan hormat ke atas Gabenor Tokyo Yuriko Koike di pejabatnya.

Suara Sarawak