Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUCHING: Sarawak menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM5.4 bilion di bawah Bajet 2023 sekali gus menyaksikan pertambahan sekitar RM800 juta berbanding RM4.6 bilion menerusi Bajet 2022.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Sabah dan Sarawak terus meraih manfaat besar daripada peruntukan pembangunan negara iaitu masing-masing sebanyak RM6.3 bilion dan RM5.4 bilion.

“Peruntukan ini antaranya untuk melaksanakan projek infrastruktur air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan kemudahan pendidikan,” katanya ketika Pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, semalam.

Peruntukan itu meningkat hampir RM2 bilion berbanding belanjawan tahun lalu yang menyaksikan kedua-dua negeri tersebut menerima RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kemudahan infrastruktur akan terus ditambah baik pada tahun depan dengan sejumlah RM2.55 bilion disediakan dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak bagi memastikan kesejahteraan rakyat luar bandar.

“Ia termasuk melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo yang dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024 untuk manfaat rakyat Sarawak.

“Sementara itu, untuk meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan 11.4 bilion ringgit,” ujarnya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan turut akan meneruskan projek pembangunan Pusat Hab Halal Tanjung Manis, Sarawak yang dijangka siap pada tahun depan dengan peruntukan 59 juta ringgit, manakala projek infrastruktur bekalan air Samalaju fasa tiga pula akan menerima peruntukan sebanyak RM100 juta.

“Kerajaan juga merancang untuk membangunkan bandar yang bersempadan dengan Thailand dan Kalimantan, Indonesia antaranya di Bukit Kayu Hitam Kedah, Kalabakan Sabah serta Tebedu dan Bakelalan, Sarawak dengan kos RM150 juta.

“Kerajaan bercadang untuk memulakan kerja awalan bagi pembinaan jalan baharu dari Kalabakan Sabah ke Simanggaris Indonesia dan menaik taraf Jalan Serian-Tebedu Sarawak ke sempadan Indonesia,” tambahnya.

Suara Sarawak