Sarawak tingkatkan aspek keselamatan secara menyeluruh

KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bakal mengkaji semula pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) 2018 bagi memastikan sektor keselamatan di Sarawak dapat diselaras secara menyeluruh.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Hui Kian berkata, ini kerana pengurusan keselamatan secara terperinci perlu dilaksanakan di Sarawak berdasarkan faktor semasa perkembangan pembangunan dan teknologi.

“Kementerian kita akan melaksanakan kajian terhadap pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) bagi melaksanakan pindaan berkaitan ordinan pembinaan bangunan baharu pada 2018.

“Pindaan akan dilaksanakan bukan sahaja berlandaskan peringkat nasional namun mengikut keperluan di Sarawak dan jika perlu, Sarawak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Majlis Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (pindaan 2021) di Hotel UCSI Kuching, hari ini.

Dr Sim dalam pada itu turut menyokong tindakan Kerajaan Persekutuan meminda undang-undang keselamatan pada 2018 dan mula dikuatkuasakan tahun ini.

Ini kerana katanya, isu keselamatan masyarakat dilihat bukan sahaja merangkumi keselamatan bangunan namun keselamatan kesihatan ketika di dalam bangunan turut dipertimbangkan.

“Pada 15 tahun dahulu, penyakit jantung dan kesihatan bukan masalah utama membabitkan masyarakat kita.

“Jadi dengan adanya kewujudan sistem peranti defibrilator luaran automatik (AED), kita dapat mengesan sekiranya terdapat mangsa pengsan atau tidak sedarkan diri dalam bangunan agar pihak berkaitan dapat bertindak lebih cepat,” katanya.

 

Suara Sarawak