KUCHING: Sarawak wajar diberikan peruntukan yang lebih dalam Bajet 2023 untuk menjayakan perancangan memajukan fasiliti di negeri ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Aidel Lariwoo.

Dengan adanya peruntukan itu katanya, ia selaras dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk mempergiatkan lagi rancangan pembangunan dan perkembangan di negeri ini.

Sarawak diperuntukan sebanyak RM5.4 bilion bagi melaksanakan projek infrstruktur, air, elektrik, jalan raya, kesihatan dan pendidikan.

“Sedia maklum Sarawak mempunyai banyak projek-projek dikategorikan sebagai projek sakit seperti sekolah-sekolah daif.

Aidel Lariwoo

“Dengan adanya peruntukan sebanyak RM1.2 bilion diharap agar semua sekolah daif yang dikategorikan dalam projek sakit dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau turut menegaskan agar Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan agar projek-projek yang telah diluluskan pada tahun hadapan dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Ia harus dilaksanakan agar tidak berlaku isu pembaziran peruntukan,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu mengalu-alukan strategi infrastruktur negara yang memfokuskan projek pembangunan termasuk dalam sektor pengangkutan dan penyiapan Lebuhraya Pan Borneo.

Jelasnya, peruntukan tersebut dijangka mampu menampung kos-kos pembinaan bangunan, jalan-jalan persekutuan dengan situasi kenaikan harga bahan mentah dalam projek infrastruktur.

Suara Sarawak