KUCHING: Sarawak merancang mencapai tiga sasaran menjelang 2030 bagi menjadi hab serantau dan pusat tenaga untuk tenaga boleh diperbaharui serta meneroka peluang untuk pengeluaran hidrogen karbon rendah bagi membangunkan ekonomi hidrogen.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata sasaran itu ialah mengekalkan sekurang-kurangnya 60 peratus campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui, dengan kuasa hidro boleh diperbaharui pada terasnya dan meningkatkan sumber tenaga boleh diperbaharui alternatif.

Selain itu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 600,000 tan setahun dan mencapai lebih daripada 15 peratus pendapatan daripada pasaran asing, termasuk mengejar eksport tenaga.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tenaga Singapura sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) di Marina Bay Sands, Singapura hari ini.

“Kuasa hidro boleh diperbaharui akan menjadi antara enjin utama kami untuk mencapai peralihan matlamat iklim daripada CO2 – penghasilan penjanaan elektrik kepada penjanaan bebas karbon,” katanya ketika berucap dalam Sidang Kemuncak Tenaga Singapura sempena Minggu Tenaga Antarabangsa Singapura (SIEW) di Marina Bay Sands, Singapura hari ini.

Menurut Abang Johari, sebagai penggerak utama ASEAN untuk pembangunan kuasa hidro, Sarawak mempunyai potensi kuasa hidro yang besar apabila kini telah membangunkan 3,452 megawatt (MW) dengan 1,285MW lagi yang akan ditauliahkan menjelang 2027.

Katanya pentauliahan loji kuasa hidro pertama Sarawak iaitu Loji Hidroelektrik Batang Ai pada 1985 merupakan peristiwa penting dalam perjalanan Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui dan penyahkarbon.

Justeru, beliau berkata untuk memenuhi komitmen bagi mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, Sarawak telah menjajarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) bagi mengembangkan pelan tindakan ekonomi strategik awal di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dilancarkan pada 2008.

Beliau menambah dalam beberapa tahun akan datang, Sarawak merancang membangunkan enam stesen pelbagai bahan api yang akan memenuhi keperluan kenderaan yang dikuasakan oleh bahan api fosil standard, elektrik dan hidrogen.

“Kami juga telah bekerjasama dengan pemain global dari Korea Selatan untuk membangunkan loji hidrogen dan ammonia mesra alam di Bintulu.

“Setelah siap, kilang itu akan menghasilkan 7,000 tan metrik hidrogen sebagai tambahan kepada pelbagai bentuk ammonia untuk industri tempatan dan Korea Selatan,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berkata sambil terus bergerak ke hadapan, Sarawak akan menyelaraskan diri dan secara kolektif komited untuk mengimbangi manfaat kepada manusia dan planet dalam mengejar kemakmuran bersama.

Katanya hanya dengan mengambil kira ketiga-tiga aspek kemampanan tenaga, kebolehpercayaan dan kemampuan, negeri ini akan dapat memenuhi matlamat kemampanan dan daya tahan tenaga untuk masa depan yang makmur dan saksama, inklusif dari segi sosial.

“Sarawak bersemangat untuk bekerjasama dengan organisasi yang berfikiran sama dan komited yang sama terhadap masa depan tenaga yang berdaya tahan dan mampan untuk ASEAN dan dunia pada umumnya.

“Kita mesti secara kolektif mengimbangi permintaan tenaga semasa dan masa hadapan dengan prinsip kemampanan, dalam konteks ancaman perubahan iklim sebagai penjaga planet kita hari ini dan sebagai jiran dalam ASEAN,” katanya.

Suara Sarawak