TOKOH… Abang Johari (dua kanan) menyampaikan Anugerah Tokoh Sambutan Maulidur Rasul Daerah Gedong 2022 kepada Salleh (tiga kanan) semasa Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini. Turut bersama-sama adalah Naroden (satu kanan), Nancy (dua kiri) dan Awla (satu kiri). FOTO: RAMIDI SUBARI

GEDONG: Kerajaan Sarawak akan membawa lebih banyak pembangunan ke daerah Gedong termasuk pembangunan kawasan baharu di seberang Sungai Batang Sadong.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kini mereka mula membangunkan kawasan baharu yang terletak di seberang sungai tersebut.

“Dan ia juga akan menghala ke Ulu Gedong terus ke Simunjan seterusnya memasuki kawasan Kota Samarahan hingga ke Sebuyau, Lingga dan kawasan pesisir pantai.

“Jadi, ini adalah pendekatan kita kerana mahu membawa rahmat kepada penduduk di kawasan ini,” kata Abang Johari yang juga Adun Gedong ketika Majlis Penutupan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Gedong, di Dewan Datuk Patinggi Ali dekat sini, hari ini.

Sehubungan itu, tambahnya, rakyat Sarawak juga perlu terus bersatu padu agar rancangan pembangunan di negeri ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Mengenai Sambutan Maulidur Rasul 2022 tersebut, ia telah berlangsung dari 5 hingga 10 Oktober dengan pelbagai penganjuran aktiviti termasuk pertandingan nasyid dan zikir.

Abang Johari juga turut menyampaikan Anugerah Tokoh Sambutan Maulidur Rasul Daerah Gedong 2022 kepada Salleh Gembi.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri; Adun Simunjan Awla Dris; bekas Adun
Gedong Datuk Mohd Naroden Majais; Residen Bahagian Samarahan Datuk Brahim Lumpu serta wakil-wakil yang lain.

Suara Sarawak