KUCHING: Rakyat Sarawak harus sentiasa bersatu hati dan berpadu tenaga untuk menjadikan negeri ini aman dan makmur.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, negeri ini terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya yang berlainan.

Oleh itu katanya, semangat perpaduan dan kerjasama diamalkan membolehkan masyarakat hidup dalam suasana aman sejahtera.

“Secara realitinya, kita telah berjaya membuktikan kepada dunia bahawa perpaduan dalam kepelbagaian adalah kunci kejayaan serta meletakkan negeri ini setanding dengan negeri lain.

“Dalam menghadapi apa-apa jua situasi yang berlaku sama ada dari segi politik mahupun ekonomi, kita hendaklah sentiasa bersatu hati dan berpadu tenaga untuk memastikan Sarawak terus aman dan makmur,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Sumbangan Amal Deepavali 2022 di Dewan Persatuan India Kuching, di sini kelmarin.

Seramai 60 orang menerima sumbangan bakul makanan dalam majlis tersebut.

Justeru Khere Chiang berkata, amalan bersedekah bukan sahaja dilakukan pada musim perayaan, bahkan diamalkan dalam kehidupan seharian.

“Ini kerana, amalan bersedekah atau bantu-membantu dapat mengeratkan lagi silaturahim sesama kita,” ujarnya.

Presiden Persatuan India Kuching Anthony Ramanair dan Presiden Kuil Sri Maha Mariamman Shankar Ram Asnani turut hadir

Suara Sarawak