SIBU: Langkah penyelesaian masalah banjir di sini perlu dilaksanakan segara, tegas Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing.

Menerusi satu kenyataan malam tadi (Rabu), beliau mendakwa, hanya RM2.8 juta yang dikeluarkan daripada jumlah RM10 juta peruntukan yang diluluskan untuk menangani masalah banjir di sini.

Rentetan itu, beliau menggesa Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian agar mempercepatkan kerja jabatan berkenaan dalam melaksanakan kerja-kerja tinjauan dasar sungai.

TINJAU….Tiong (dua kiri) memantau keadaan banjir di kawasan Pulau Li Hua dibawah DUN Dudong.

“Daripada peruntukan RM10 juta yang diluluskan kerajaan Sarawak untuk kerja-kerja meninjau Sungai Rajang dan Sungau Igan, hanya RM2.8 juta telah dikeluarkan setakat tahun ini untuk tujuan itu. Jelas bahawa ia tidak memuaskan dan mengecewakan.

“Perubahan iklim dan pemanasan global bertambah teruk tahun demi tahun, menyebabkan sukar untuk meramal keadaan cuaca. Justeru, kerja mengorek serta mendalamkan dasar sungai lebih mendesak,” tegas penyandang kerusi Parlimen Bintulu itu.

Oleh itu katanya, pihak berkuasa perlu segera mengeluarkan baki RM7.2 juta bagi mempercepatkan kerja mengukur dasar sungai kerana penduduk semakin terjejas susulan perubahan iklim.

“Saya menggesa Dr Sim yang juga Timbalan Premier Sarawak untuk mengambil tindakan secepat mungkin dan menyegerakan urusan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi proses-proses yang diperlukan bagi kedua-dua sungai tersebut agar dapat disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Suara Sarawak