KUCHING: Hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak sejak 2018 berjaya melaksanakan sekitar 100 projek di negeri ini.

Penyandang Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, kesemua projek tersebut melibatkan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP), Projek-Projek Khas Peruntukan Perdana Menteri, projek pembangunan yang dibiayai Agensi Pembangunan Bersepadu Bahagian Samarahan (IRSDA).

Penyandang Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang

“Dalam liku-liku yang mencabar ini, kita bersyukur kerana Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan sokongan serta dukungan yang penuh kepada Ahli Parlimen dari Sarawak.

“Sokongan ini meneruskan agenda-agenda pembangunan di kawasan masing-masing menerusi RTP dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diteruskan di bawah Kerajaan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Rubiah menambah, pembubaran Parlimen telah dibuat hari ini, dengan sewajarnya menurut Perkara 40 (2)(b) dan perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi Perkara 40 (2)(b) dan perkara 55 itu, Rubiah berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan Perdana Menteri supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.

“Serentak dengan pengumuman itu, maka berakhirlah tugas saya sebagai Ahli Parlimen di Kota Samarahan untuk penggal kali ini,” katanya.

Suara Sarawak