Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Sarawak berhasrat menubuhkan Sekolah Antarabangsa Islam sendiri berlandaskan Madrasah AlJunied Al-Islamiah, Singapura.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelajar AlJunied diajar dengan sukatan pelajaran yang diiktiraf oleh universiti terkemuka dunia dan mampu menghasilkan pelajar yang berjaya.

“Sekiranya kita ada pelajar seperti ini, ia akan membolehkan mereka menyambung pengajian di universiti tempatan atau antarabangsa.

“Ini adalah kerjasama kita bersama AlJunied. Kita bukan sahaja memberi tumpuan menghantar pelajar ke universiti di Timur Tengah, tetapi juga universiti di Amerika Syarikat dan Eropah.

“Dengan ini, belia Islam kita bukan sahaja menjadi ‘jaguh kampung’ (ulama kampung) tetapi juga ulama dunia untuk masa hadapan,” katanya sambil menambah penubuhan sekolah itu kini masih dalam kajian menyeluruh dengan AlJunied.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks Hikmah dan Sekolah Tahfiz Hikmah, di sini, semalam.

Beliau turut mendedahkan, Kerajaan Sarawak juga menghantar pegawai Islam dan bukan Islam ke Universiti Oxford untuk mendapat pendedahan mengenai ekosistem silibus Islam dan bukan Islam.

“Dari situ, kita akan mempunyai Hikmah untuk menggunakan budi bicara dalam tanggungjawabnya untuk menubuhkan sekolah bertaraf antarabangsa,” katanya.

Untuk rekod, Madrasah Aljunied Al-Islamiah adalah institusi pengajian Islam swasta sepenuh masa di Singapura yang merupakan antara madrasah tertua yang masih wujud di Singapura.

Ia mempunyai barisan alumni terkenal pemimpin agama Islam terkemuka di Singapura dan Asia Tenggara.

Suara Sarawak