TAKLIMAT… Uggah berkongsi maklumat dengan Dr Chai (tiga kanan) dan Matcha (dua kanan).

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di peringkat bahagian dan daerah digesa untuk mempertingkatkan persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya bencana banjir pada musim monsun timur laut kelak.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBN, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia termasuk memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi di pusat masing-masing.

“Kami mahu semua jabatan terlibat supaya berjaga-jaga dengan menyediakan kemudahan dan tenaga kerja yang diperlukan,” katanya selepas menghadiri taklimat situasi banjir di Sarawak di Kuching, hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan berkata, beliau juga mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) memberi perhatian khusus kepada sebarang kemusnahan jalan raya akibat banjir.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan berterusan akan melanda beberapa bahagian di negeri ini mulai hari ini hingga 14 Oktober depan.

Kawasan ini termasuk Bahagian Mukah di Daro, Matu, Dalat dan Mukah, Bahagian Bintulu, Bahagian Miri di daerah Subis, Beluru, Miri dan Marudi dan Bahagian Limbang.

Suara Sarawak