KUCHING: Sibu bakal menjadi destinasi pertama di Asia sebagai tuan rumah Participatory Design Conference (PDC) yang akan berlangsung pada tahun 2024.

Penganjuran yang pertama kali dilaksanakan di Malaysia itu susulan kejayaan Sarawak mengalahkan pesaing-pesaing utama lain di seluruh dunia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persidangan yang bakal berlangsung selama 10 hari itu dianjurkan oleh Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di Sibu.

“Ia sangat unik kerana pertama kali persidangan perniagaan yang besar dianjurkan di luar Kuching mahupun Miri.

“Ia akan disertai lebih 500 orang peserta dari 50 negara di seluruh dunia.

Abdul Karim (tengah) merakam kenangan selepas sidang media Participatory Design Conference (PDC) 2024 di Kuching, hari ini.

Maka secara tidak langsung ia membantu mempromosikan Sarawak, khususnya Bahagian Sibu ke mata dunia khususnya dalam acara perniagaan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan berkata demikian pada sidang media Participatory Design Conference (PDC) 2024 di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

“Bertemakan ‘Menjangkau: Menghubungkan Melangkaui Penyertaan’, persidangan ini akan melihat kembali insiatif, penyelidikan serta perubahan dalam teknologi maklumat dan komunikasi sepanjang tiga dekad yang lalu.

“Selain itu, ia akan membincangkan penyelesaian bagi reka bentuk produk, perkhidmatan dan sistem sosioteknikal. Untuk melihat struktur, peranan dan hak dalam sistem yang melibatkan fungsi bersama manusia dan teknologi,” ujarnya.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Hii Chang Kee; Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting, Naib Canselor UTS Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman.

Suara Sarawak