KUCHING: Kekecewaan awal dialami skuad badminton, meskipun temasya Sukan Para Sukma XX MSN 2022 masih belum disingkap sepenuhnya.

Ia berikutan pengguguran kategori bergu campuran yang merupakan penguasaan emas pemain Sarawak di kejohanan yang akan berlangsung dari 1 hingga 6 November depan.

Ketua jurulatih, Suhaili Laiman memberitahu, pihaknya akur dengan keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Penganjur Para Sukma XX MSN 2022.

KEKAL FOKUS…Pemain badminton Para Sukma Sarawak menjalani latihan seperti biasa. – FOTO FAIZAL BUJANG

“Tamparan hebat bagi kita apabila kategori bergu campuran digugurkan kali ini.

“Dalam keadaan kategori tersebut dikuasai pasangan handalan kita iaitu Aziz Mulaina Muhammad Daud dan Nursyazwani Sahrom yang juga pemenang pingat emas pada Para Sukma Perak 2018,” ujar Suhaili kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Suhaili, perubahan terhadap kategori terbabit tidak
mengganggu perancangan pihaknya, sebaliknya kekal dengan program seperti biasa.

“Barisan pemain kekal menjalani latihan seperti biasa. Pada masa yang sama cuba melihat ada kategori lain yang dapat dijadikan aset untuk beroleh pingat di temasya itu kelak.

“Kategori lain juga mempunyai potensi besar untuk beroleh pingat emas,” jelas Suhaili yang turut mengakui kategori berkerusi roda antara yang dilihat berpotensi besar.

Suara Sarawak