KUALA LUMPUR: Pasukan ping pong Para Sukma Sarawak berazam untuk meraih tiga pingat pada temasya Sukan Para Sukma XX MSN, Kuala Lumpur 2022.

Himpunan pingat terbabit mencakupi masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa.

Ketua jurulatih Anthony Jong memberitahu, diharap segala perancangan ke arah itu berjalan lancar.

“Sasaran pingat emas kita bergantung kepada pemain handalan yang juga wakil negara, Gloria Gracia Wong Sze,” ujar Anthony.

SANDARAN EMAS….Gloria Gracia Wong Sze.

Sambil itu, beliau akui pingat perak mungkin datang daripada acara berpasukan wanita manakala gangsa dijangka datang daripada acara berpasukan lelai.

Menurutnya, saingan kali ini skuad terbabit menyenaraikan lima pemain iaitu Lerry Chinong, Tang Choon Hock, Goh Kuong Tiong, Sim Siew Ling dan Gloria Gracia Wong Sze.

Jong, yang juga Presiden Persatuan Pingpong Para Sarawak, berharap pemainnya dapat terus menyumbang pingat kepada Kontinjen Para Sukma Sarawak dalam temasya kali ini.

Sebanyak 19 pingat emas ditawarkan dalam pertandingan yang akan bermula dari 2 hingga 6 November bertempat di Gimnasium 2 MSN di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Pada Para Sukma di Perak 2018, skuad terbabit berjaya meraih dua emas, satu perak dan dua gangsa.

Suara Sarawak