Skuad renang Para Sukma fokus tingkatkan prestasi

KUCHING: Tempoh masa yang ada terus diperguna barisan perenang Para Sukma Sarawak untuk meningkatkan prestasi masing-masing.

Fokus kepada sesi latihan mengikut jadual ditetapkan. Pendekatan tersebut penting bagi memastikan penampilan pada temasya sebenar dapat memperlihat kejayaan untuk beroleh pingat.

Jurulatih Renang Para Sukma Sarawak Syarbini Kadri memberitahu, sesi latihan berjalan seperti biasa ketika ini.

Beliau memberitahu, ia dilaksanakan di dua gelanggang berasingan iaitu kolam renang Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) selain kolam renang Jabatan Belia Dan Sukan (JBS).

“Kita terus menggunakan masa yang ada untuk latihan. Dan saya percaya para perenang cuba menggunakan peluang ini untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing,” ujar Syarbini kepada Arena Suara Sarawak.

Ketika ini katanya, persiapan perenang dibawah kendianya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Temasya Para Sukma 2022 akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula dari 2 hingga 6 November depan.

Justeru Syarbini amat berharap acara renang akan terus menjadi penyumbang pingat kepada Kontinjen Para Sukma kelak.

 

Suara Sarawak