SIBU: SMK Dudong, antara lima buah sekolah baharu yang akan dibina dengan kos keseluruhan RM430 juta (untuk lima sekolah) kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Manakala, empat sekolah lain yang terlibat termasuk SMK Nabalu Sabah, SK Paya Dusun Terengganu, SK Cyberjaya 2 dan SMK Denai Alam, Selangor.

Pengumuman tersebut dibentangkan ketika Bajet 2023 di Parlimen pada Jumaat lalu, menjadi berita gembira buat penduduk Sibu Jaya dan kawasan sekitarnya.

GEMBIRA… Wong (duduk tengah) bersama-sama pasukannya ketika sidang media

Rentetan dari pengumuman itu Pengerusi SUPP Cawangan Dudong Kaunselor Wong Ching Yong meluahkan rasa gembira kerana akhirnya SMK Dudong akan dibina bermula tahun depan.

“Sekolah baharu amat diperlukan memandangkan penduduk Sibu Jaya semakin meningkat. Penduduk sekarang adalah antara 35,000 hingga 40,000 orang.

“Saya harap kerja pembinaan dapat dimulakan tahun depan kerana pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Tanah dan Ukur, Lembaga Air Sibu, Sesco, Bomba dan Jabatan Saliran & Pengairan telah meluluskan segala yang diperlukan,” katanya pada sidang media di sini, Sabtu lalu.

Wong menambah, SK dan SMK Sibu Jaya sejak sekian lama menghadapi kekurangan bilik darjah yang serius.

“Kekurangan itu meruncing semasa penularan wabak Covid-19 yang menetapkan syarat ketat prosedur operasi standard (SOP) terutamanya penjarakan sosial.

“Disebabkan kekurangan serius bilik darjah di sekolah tersebut, pelajar terpaksa mengikuti kelas di koridor. Sistem pengajaran bergilir-gilir dalam kelas dilaksanakan menyebabkan pelajar tidak berpeluang mengikuti kelas setiap hari. Ini menjejaskan kualiti pendidikan,” tegasnya.

Begitu juga, ujarnya, di SMK Sibu Jaya yang menghadapi masalah bilik darjah yang serius.

Wong mendedahkan makmal sains dan bengkel terpaksa diubah suai menjadi bilik darjah. Sekiranya tidak diubah, pelajar terpaksa bergilir-gilir untuk menghadiri kelas.

Susulan dari pembinaan SMK Dudong itu, Wong merakamkan setinggi-tinggi penghargaannya kepada Dr Sim dan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Kameri Affendi kerana memberi sokongan padu terhadap permohonan tersebut.

“Saya berharap lebih banyak dana diperuntukkan untuk membina SK Dudong serta bagi tujuan membina dewan tertutup di SJK Thien Hua,” ujarnya.

Suara Sarawak