UNTUK KENANGAN…Dr Sim Kui Hian (tiga kiri) bersama-sama Wee Hong Seng (empat kiri) dan yang lain bergambar di hadapan pintu gerbang Jalan Padungan.

KUCHING: Tidak perlu membuat sebarang spekulasi berhubung calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjelang hari penamaan calon.

Sebaliknya, Presiden SUPP Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, sokongan pernuh harus diberikan kepada calon yang telah dimuktamadkan, yang telah diumum dan ditandatangani watikah pencalonan.

“Saya sudah beritahu kepada semua, apabila semua calon telah dimuktamadkan, diumum dan kemudian menerima watikah, semua harus berdiri di belakang calon.

“Sama ada kamu gembira dengan keputusan atau tidak gembira ketika ini, kita semua mempunyai kesempatan untuk ambil peluang ini,” katanya kepada media selepas menyempurnakan simbolik penyalaan lampu di pintu gerbang Jalan Padungan, di sini malam tadi.

Turuh hadir, Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng serta ahli majlis Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) yang lain.

Terdahulu, Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari akan mengumumkan calon GPS bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 3 November ini.

Parti komponen GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), SUPP Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Parti komponen GPS dijangka akan menampilkan 10 hingga 14 muka baharu dalam PRU-15 ini.

Sementara, SUPP akan bertanding di enam kerusi dan mengekalkan seorang penyandang bagi kerusi Parlimen Serian, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Suara Sarawak