SSC sedia bantu Johnathan Nyepa

KUCHING: Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) bersedia membantu atlet kebangsaan dari Sarawak, Johnathan Nyepa berhubung isu ketiadaan jurulatih untuk melatihnya sejak Julai lalu.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya akan meneliti isu tersebut dan berusaha menanganinya sebaik mungkin.

“Sekiranya benar Jonathan tidak mempunyai jurulatih, kita akan meneliti isu itu kerana bagi saya, dia masih mempunyai potensi untuk bertanding beberapa tahun lagi.

“Bahkan dia juga dapat memenangi acara antarabangsa baru-baru ini menunjukkan dia sangat bagus. Untuk itu, kami bersedia membantu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Miss Tourism International World Final 2022/2023 di Hotel Raiaa, hari ini.

Abdul Karim menambah, Johnathan merupakan atlet negara dan ia menjadikannya di bawah pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil.

Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah Jonathan tidak mempunyai jurulatih bermakna dia mungkin tidak berada di Bukit Jalil lagi.

“Untuk dia mewakili Malaysia dalam acara antarabangsa, mesti ada jurulatih yang bertanggungjawab untuk melatihnya.

“Saya perlu meneliti sehingga ke akar umbi berhubung perkara ini kerana Johnathan sendiri masih belum memaklumkan SSC sama ada beliau telah digugurkan atau tidak,” katanya.

Jonathan Nyepa baru-baru ini, berjaya meraih emas di Central Asia Championship di Samarkand City, Uzbekistan mewakili Malaysia bagi acara 100 meter.

Namun begitu, kemenangan ini merupakan kali pertama Jonathan berlatih tanpa jurulatih sejak kontrak jurulatihnya M. Balamurugan tidak disambung oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sejak Julai lalu.

 

MOU… Abdul Karim (tiga kiri) menyaksikan MOU antara Yast Group diwakili Eshther Law Lee Poh bersama New Sarawak Tribune diwakili Dorge Rajah. – Abdul Hakeem Well

Suara Sarawak