TAHNIAH… Ketua Pegawai Operasi Tribune Press Sdn Bhd & SV News Sdn Bhd, Mohamad Sardon Zainal
menyampaikan sijil penghargaan kepada tiga pelatih dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang komunikasi yang menjalani latihan industri selama tiga bulan di Suara Sarawak. | GHAZALI BUJANG

KUCHING: Lazimnya latihan industri dianggap sebagai pelengkap pengajian.

Namun latihan industri sebenarnya membawa makna besar kepada pelatih kerana memberi pendedahan mengenai alam kerja yang sebenar.

Sehubungan itu, penting untuk setiap universiti mewajibkan setiap fakulti menjalankan latihan industri supaya pelajar lebih bersedia melangkah ke alam pekerjaan.

Bagi Tarani Lanting, 23, dia sangat bersyukur kerana menjalani latihan industri di Suara Sarawak.

“Selama tiga bulan saya menjalani latihan industri di sini, memang banyak pengalaman menarik dan menguntungkan saya dan ia boleh digunakan apabila masuk ke alam pekerjaan kelak.

“Saya berpeluang berjumpa dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan menteri yang lain semasa membuat liputan bersama-sama wartawan senior.

“Bukan itu sahaja, saya juga berpeluang mendengar pengalaman pahit dan manis peniaga ketika menemu bual mereka.

“Tugasan untuk menemu bual orang awam yang diberikan meningkatkan keyakinan diri saya.

“Memang tidak dinafikan banyak lagi yang perlu saya pelajari,” katanya.

Patricia Jalawai Peter, 23, pula berkata, banyak pengalaman dan kebaikan yang diperolehnya selepas menjalani latihan industri di Suara Sarawak.

“Selepas menjalankan latihan industri selama tiga bulan di Suara Sarawak, banyak ilmu yang saya dapat dan banyak perubahan yang berlaku dalam diri saya. “Saya semakin yakin untuk berhadapan dengan orang ramai terutamanya dengan mereka yang berjawatan tinggi seperti menteri dan ketua jabatan.

“Perubahan juga berlaku dari segi penulisan berbanding sebelum ini. Ini kerana sebagai seorang wartawan mestilah rajin membaca portal berita atau surat khabar.

“Suara Sarawak adalah pilihan yang tepat untuk menjalani latihan industri kerana di sini saya mendapat banyak pengetahuan baharu dan pengalaman menyeronokkan dalam bidang kewartawan.

“Pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh daripada latihan industri di Suara Sarawak dapat dimanfaatkan apabila bekerja kelak,” katanya.

Nur Farihan Razali, 23, berkata, dia sangat berpuas hati menjalani latihan industri di Suara Sarawak kerana banyak manfaat yang diperoleh dalam tempoh tiga bulan.

“Sepanjang tiga bulan menjalani latihan industri di Suara Sarawak, saya banyak didedahkan dengan dunia kewartawanan selari dengan bidang pengajian semasa belajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Saya mendapat banyak pengalaman terutamanya apabila keluar membuat liputan media dan saya rasa saya lebih yakin untuk menemu bual orang ramai.

“Bukan itu sahaja, saya percaya bahawa membaca itu merupakan jambatan ilmu kerana sebagai anak muda, ramai antara kita yang tidak minat membaca dan lebih suka melayari media sosial.

“Namun kita mesti terapkan budaya membaca untuk mengetahui isu semasa supaya gelaran ‘keluaran universiti’ itu lebih bermutu tinggi terutamanya apabila melangkah keluar ke alam pekerjaan,” katanya.

Suara Sarawak