DARO: Kerajaan Sarawak akan terus memperjuangkan susunan pentadbiran Mahkamah Tinggi Borneo seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia bagi mencapai hasrat Sarawak bagi memulihkan kuasa Tuan Yang Terutama (TYT) untuk melantik Pesuruhjaya Kehakiman (JC).

“Kali terakhir, kita mempunyai Mahkamah Borneo dan Mahkamah Malaya. Peguam dari luar Sarawak tidak boleh mengamalkan undang-undang di Sarawak jadi kami mahu mengekalkan susunan itu,” katanya.

BERCAKAP… Abang Johari (tengah) menjawab soalan daripada pemberita.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Rumah Spektra Permata Kampung Badong dan Kompleks Sukan Daro di sini, hari ini.

Menurut Abang Johari, dari segi pengiktirafan Mahkamah Borneo, kini ia dikenali sebagai Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Ia susulan pada 24 Jun 1994, Mahkamah Tinggi Borneo dinamakan semula kepada Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun katanya, beliau merasakan ia lebih baik dinamakan sebagai Mahkamah Tinggi Borneo dan JC yang dilantik mesti merujuk kepada TYT dahulu.

“Jadi, kami percaya Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak harus dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi Borneo dan JC yang dilantik mesti dirujuk kepada TYT terlebih dahulu.

“Ini kerana TYT mesti mempunyai kuasa tertentu untuk memeriksa calon menjadi pesuruhjaya kehakiman dari sudut undang-undang perlembagaan,” katanya.

Suara Sarawak