KUCHING: Syarikat penerbangan di negara ini digesa untuk mengurangkan kadar tambang dan menawarkan diskaun bagi membolehkan rakyat Sarawak kembali untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, beliau sedia maklum bahawa harga tiket penerbangan dari Semenanjung ke negeri ini meningkat mendadak menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Saya mendengar bahawa Malaysia Airlines (MAS) menawarkan diskaun kepada mereka yang ingin kembali mengundi.

“Saya amat mengalu-alukan langkah sedemikian dan berharap lebih banyak syarikat penerbangan berbuat demikian.

Datuk Seri Fadillah Yusof

“Berilah kemudahan kepada rakyat dengan menyediakan tambahng lebih murah supaya lebih ramai rakyat dapat balik dan turun mengundi,” katanya.

Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya itu berkata demikian ketika ditemui media selepas Mempengerusikan Mesyuarat Persiapan PRU-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Petra Jaya di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Sementara itu beliau turut mengalu-alukan NGO dan pihak lain menaja atau memberikan bantuan untuk rakyat yang mahu balik mengundi.

“Sebagai contoh, saya melihat di media sosial bahawa Gereja Methodist menggalakkan pengundi khususnya pelajar Sarawak untuk balik mengundi dengan menawarkan bantuan pembelian tiket penerbangan.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti sama ada ini dibenarkan atau tidak. Tetapi ada beberapa lagi pihak yang menawarkan diri untuk membantu kita pulang mengundi,” jelasnya.

Suara Sarawak