KUCHING: Toleransi antara kaum dan agama perlu diamalkan bagi memastikan masyarakat dapat terus hidup dalam keadaan aman dan damai.

Adun Satok Datuk Ibrahim Baki berkata demikian ketika menghadiri majlis Perhimpunan dan Perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul 2022 di perkarangan bangunan Pertubuhan Anak Seni Bandarsah Kuching (PASBK), di sini, hari ini.

Menurutnya, ia juga selari dengan usaha umat Islam untuk meneruskan perjuangan yang dituntut dalam agama untuk menjalinkan persaudaraan dengan penuh toleransi dan muafakat.

Ibrahim di barisan paling hadapan bersama-sama 14 kontinjen berarak mengelilingi kawasan kampung di Dun Satok sempena Sambutan Maulidur Rasul 2022

“Selain itu, usaha ini juga membolehkan pelbagai dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan kepada segenap lapisan masyarakat dari aspek kebajikan dan kelangsungan hidup dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh, kerajaan telah membuat strategi pembangunan pasca Covid-19 dengan menekankan aspek kemakmuran ekonomi, kebersamaan, sosial dan persekitaran yang mampan demi manfaat bersama,” katanya.

Oleh itu tambahnya, kerajaan negeri mengamalkan konsep tadbir urus bersandarkan kepada kewujuduan bersama bersandarkan Piagam Madinah.

Kanak-kanak turut menyemarakkan semangat Sambutan Maulidur Rasul 2022

Jelasnya, piagam tersebut bertujuan mengekalkan keamanan masyarakat yang berbilang kaum dan agama secara adil dan saksama tanpa prejudis.

“Justeru, konsep tersebut diteladani supaya rakyat dapat hidup bersama menjadi masyarakat majmuk,” ujarnya.

Sementara, sempena sambutan maulidur rasul yang jatuh pada 12 Rabiulawal (9 Oktober), PASBK telah menganjurkan aktiviti perarakan bagi menyemarakkan sambutan hari lahir serta perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sebanyak 14 buah kontinjen perarakan terdiri dari lebih 600 orang peserta warga Satok memeriahkan sambutan maulidur rasul yang diadakan di perkarangan dewan baharu PASBK, di sini.

Perarakan bermula dari hadapan bangunan tersebut, mengelilingi kawasan kampung di Dun Satok dengan jarak sekitar 2.5 kilometer, selama 40 minit.

Untuk rekod, program ini berlangsung setiap tahun sejak 2013, namun terhenti selama dua tahun akibat pandemik. Tahun ini merupakan diadakan semula buat pertama kali, di lokasi baharu (dewan PASBK) bersama-sama Adun Satok Ibrahim Baki.

Hadir sama Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) Datuk Dr. Sanib Said; Pengerusi PASBK Abdul Rahman Zainuddin dan lain-lain.

Suara Sarawak