BERUCAP… Sherrina berucap pada Program Kesedaran Mengenai SDGp Siri 4/2022 di Hotel Waterfront dekat sini, hari ini. (F: Abdul Hakeem Well).

KUCHING: Taman Geo Deltra Sarawak (SDGp) telah memberi nilai tambah kepada program pelancongan sedia ada di negeri ini, kata Residen Bahagian Kuching Datuk Sherrina Hussaini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Awam dan Penyertaan Komuniti SDGp itu juga berkata, perkara tersebut kerana SDGp memberi tumpuan kepada struktur kejadian alam semulajadi selain pemandangan dan aktiviti yang menyeronokkan.

“SDGp meliputi Kuching, Bau, Padawan dan Siburan yang memiliki banyak ciri geologi dan geomorfologi dengan nilai geo-warisan yang tinggi untuk diiktiraf sebagai Taman Geo pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Selain itu, ia juga menyediakan mekanisme pembangunan wilayah secara bersepadu merangkumi pemeliharaan warisan alam semulajadi, pembangunan ekonomi dan komuniti berasaskan sumber-sumber warisan geologi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kesedaran Mengenai SDGp Siri 4/2022 di Hotel Waterfront dekat sini, hari ini.

Tambahnya, dalam usaha membangunkan SDGp, Kerajaan Sarawak menekankan aspek pemeliharaan dan pemuliharaan warisan, pembangunan ekonomi dan pembangunan komuniti.

Menurutnya, ia dilaksanakan dengan mengintegrasikan alam semula jadi dan pemuliharaan warisan budaya sebagai satu entiti seimbang.

“Melalui inisiatif pembangunan geotapak tersebut, secara tidak langsung ia juga akan membangunkan sosioekonomi penduduk melalui geo-pelancongan di tempat berkenaan,” ujarnya.

Suara Sarawak