KUCHING: Jangan malu untuk tampil membuat pemeriksaan kesihatan kanser payudara kata Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak itu berkata, ia penting sebagai langkah pencegahan awal.

“Bagaimanapun, ini menjadi cabaran kepada kita untuk meyakinkan golongan wanita supaya jangan malu untuk tampil ke hadapan.

“Kita juga faham kerana ia melibatkan bahagian sulit, justeru timbul perasaan malu untuk berjumpa dengan doktor.

 

“Tetapi, kita perlu usahakannya kerana apabila pengesanan peringkat awal dilakukan, peluang kelangsungan hidup lebih cerah dengan mendapatkan rawatan-rawatan tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual wartawan selepas menyempurnakan Program Larian Amal Merah Jambu 2022, di Dataran Lama Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

“Oleh itu, banyak usaha yang perlu dilakukan, begitu juga dengan mereka yang berada di kawasan luar bandar agar tahap kesedaran dapat ditingkatkan, demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Fatimah ketika ditemui wartawan selepas selesai menyempurnakan Program Larian Amal Merah Jambu 2022

Suara Sarawak