MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mewujudkan program khas bagi menangani kerosakan infrastruktur awam akibat banjir dengan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk tahun depan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, peruntukan tersebut diluluskan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika mesyuarat Kabinet Negeri untuk program khas melibatkan tindak balas kecemasan bagi infrastruktur awam yang rosak.

Uggah berkata demikian pada Jumaat selepas sesi taklimat mesyuarat mengenai persiapan banjir bagi bahagian ini bersama pelbagai agensi kerajaan di Miri.

“Sebelum ini, kita tidak mempunyai dana untuk membaiki infrastruktur awam yang rosak teruk akibat banjir, dan sebab itu kerajaan negeri telah mewujudkan program tersebut,” katanya kepada media, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Uggah turut meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) bersiap siaga dan memantau keadaan ketika musim tengkujuh terutama kawasan kerap banjir di Baram bagi memastikan infrastruktur awam seperti jalan raya, jambatan berada dalam keadaan baik.

Datuk Amar Douglas Uggah pada sidang media kesiapsiagaan banjir di pelbagai agensi di bahagian Miri.

Mengenai mesyuarat kesiapsiagaan banjir di pelbagai agensi di bahagian ini, Uggah melahirkan rasa puas hati dengan keupayaan tindak balas banjir yang dilaksanakan.

“Saya sangat gembira dengan kesiapsiagaan banjir mereka,” katanya sambil menambah di bahagian Miri sebanyak 48 pusat pemindahan sementara banjir akan disediakan.

Sebanyak 627 pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di seluruh negeri bagi menghadapi musim tengkujuh hujung tahun ini.

“Bagi depoh penyimpanan bantuan bencana, di seluruh negeri kita mempunyai 23 stor untuk menempatkan simpanan makanan kering dengan lapan di Miri dan 16 stor bencana di peringkat bahagian dan daerah,” kata Uggah.

Adun Telang Usan Dennis Ngau hadir sama.

Suara Sarawak