KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu penyeludupan barang kawalan bersubsidi di pintu sempadan negara.

Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Azman Mohd Yusof berkata, penyeludupan barang kawalan bersubsidi yang berlaku di sempadan antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada negara Thailand, Indonesia, Brunei dan Singapura antara perkara utama yang menjadi perhatian kementerian.

Azman (kiri) melawat Pasar Serikin dalam lawatan kerjanya.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan KPDNHEP, sebanyak 427 kes penyeludupan barang kawalan bersubsidi di pintu-pintu sempadan negara melibatkan rampasan berjumlah RM69.74 juta berjaya dipatahkan di seluruh negara dalam tempoh 1 Januari hingga 30 September.

“KPDNHEP memandang serius isu tersebut kerana boleh mengakibatkan kerugian yang besar kepada negara.

Azman (kiri) melawat Pos Kawalan Sempadan Serikin sempena lawatan kerja.

“Selain barang kawalan bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat Malaysia telah diseleweng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ke negara jiran demi mengaut keuntungan lumayan dengan melakukan aktiviti haram ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru katanya, KPDNHEP akan terus mengadakan jaringan serta memperkukuhkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain bagi mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di sempadan negara.

Jelasnya, ia bertujuan bagi mengatasi isu penyeludupan barangan kawalan atau bersubsidi daripada terus berleluasa menerusi operasi bersepadu serta mengadakan pengauditan di setiap rantaian pengedaran barang kawalan.

Suara Sarawak