Tempat lombong bitcoin terbongkar, terbakar

PADAWAN: Kegiatan melombong mata wang kripto secara tidak sah di sebuah rumah kedai di Jalan Penrissen, Kota Sentosa, di sini terbongkar apabila salah sebuah mesin tersebut terbakar, semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan dari pengadu yang juga pemilik premis, 66, berhubung kejadian kira-kira jam 8.54 malam.

Katanya, pihak bomba berjaya memadam kebakaran, sementara rumah kedai yang lain tidak terjejas dalam kebakaran.

“Rumah tersebut tiada berpenghuni dan hanya dijadikan tempat menjalankan aktiviti bitcoin.

“Terdapat banyak penyambungan wayar elektrik yang tidak sah di dalam sebuah bilik yang dibuat khas untuk menyimpan mesin bitcoin di atas satu rak lima tingkat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, menurut pihak bomba, punca kebakaran dipercayai disebabkan oleh litar pintas kerana penyambungan pendawaian yang tidak sah.

Sementara Abang Zainal berkata, pihak Sesco telah merampas 57 mesin kripto, sebuah modem, seunit komputer riba dan dua meter elektrik.

“Semua barang rampasan dalam keadaan tidak sempurna (terbakar). Nilai kerugian bil elektrik dianggarkan RM16,000 sebulan,” ujarnya.

Suara Sarawak