MINGGU lalu, heboh berita penculikan kanak-kanak sekolah yang tular serentak di beberapa negeri.

Di Kuching, kawan-kawan sibuk berkongsi WhatsApp yang mendakwa berlaku cubaan culik di depan sekolah oleh sekumpulan lelaki berkereta mencari kanak-kanak untuk dijadikan mangsa pemerdagangan organ.

Di dalam dunia media, kami tidak boleh menerimanya sebagai satu berita kerana tidak disahkan sumbernya.

Di dalam dunia kami, cerita culik akan jadi benar-benar berita apabila sumber itu sahih dan disahkan oleh pihak berkuasa.

Sebenarnya dalam kehidupan seharian pun kita harus berpegang kepada prinsip — cuma percaya kepada yang sahih bukan yang didengar semata-mata mahupun yang dilihat pada pandangan pertama.

Saya mengambil analogi cerita Pak Samad yang melihat Mak Leha berbasikal ke pasar, kemudian Pak Samad menceritakan lagi kepada jirannya yang dia melihat Mak Leha tergesa-gesa berbasikal ke pasar.

Jirannya kemudian menyampaikan lagi kepada orang keempat bahawa Mak Leha berbasikal ke pasar untuk pergi berjumpa duda di simpang jalan.

Cerita seperti itulah bahayanya – tidak sahih namun boleh disampaikan menjadi berita yang diterima dengan tanggapan yang benar.

Sama seperti kes culik kanak-kanak yang tular minggu lepas dan PDRM menafikannya sebagai berita palsu, namun dalam masa yang sama, ia boleh memberi ingatan kepada ibu bapa bahawa kes culik itu benar dan wujud.

Langkah berjaga-jaga dan berwaspada wajar dipertingkatkan.

Jangan ambil mudah terutamanya dalam zaman serba moden ini.

Pada tahun lepas, sebanyak 4,471 kes kehilangan kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dilaporkan sejak 2017 hingga 1 September 2021.

Berdasarkan statistik PDRM, daripada jumlah itu, 4,399 kanakkanak dijumpai semula manakala 72 lagi masih hilang.

Bagi kes orang hilang berumur 18 tahun dan ke atas pula, beliau berkata, sebanyak 6,074 kes dilaporkan dalam tempoh sama dengan 4,871 orang telah dijumpai semula manakala 1,203 orang masih hilang.

Antara langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah ini mewujudkan Portal Kanak-kanak Hilang.

Maklumat berkenaan dipaparkan di portal https:// knk2hilang.rmp.gov.my yang boleh diakses oleh orang awam.

Saya bawakan anda kutipan kes culik kanak-kanak – antara yang tragis di dunia malah dijadikan sebuah dokumentari untuk tontonan umum tentang bagaimana kegilaan individu terhadap kanak-kanak.

Namanya Jaycee Lee Dugard, salah seorang kanak-kanak warga United Kingdom.

Kisah malang Jaycee ni bermula pada 10 Jun 1991 ketika kanak-kanak perempuan comel berusia 11 tahun itu sedang dalam perjalanan ke stesen bas bagi menaiki bas untuk ke sekolahnya.

Tidak lama selepas itu, datang sebuah kereta mendekati Jaycee. Jaycee kemudian ditembak dengan pistol perenjat elektrik lalu diheret masuk ke dalam kereta itu oleh dua individu.

Individu berkenaan ialah Phillip Garrido — pesalah laku seksual yang masih lagi berada dalam pemantauan pihak berkuasa bersama-sama isterinya bernama Nancy.

Di sebalik tragedi itu, ada kisah menarik kerana penculikan Jaycee sebenarnya hasil intipan Nancy sebagai hadiah kepada suaminya.

Maksudnya, menculik kanak-kanak perempuan untuk dijadikan hadiah kepada suaminya — seorang isteri yang sanggup terjun ke bara api demi cinta kepada suami.

Selepas mengheret masuk Jaycee ke dalam kereta, Philip memecut laju beredar dari lokasi kejadian.

Pada masa sama, bapa tiri Jaycee Carl Probyn yang melihat insiden tersebut cuba untuk mengejar kereta Phillips dengan basikal tetapi tidak berjaya.

Hari pertama penculikannya, Jacyee yang digari dipaksa untuk mandi bersama-sama Phillip.

Selepas dirogol, Jaycee dikurung di dalam sebuah bilik kalis bunyi yang terletak di belakang rumah Phillip.

Di dalam bilik yang tidak mempunyai sebarang keperluan asas itulah tempat Jaycee menjadi hamba seks Philip setiap hari.

Boleh bayangkan penderitaan kanak-kanak kecil yang dikurung dan diperlakukan seperti anak patung mainan. Di dalam bilik tersebut, ditempatkan satu baldi untuk dijadikan tempat Jaycee untuk kencing dan buang air besar.

Hari demi hari Jaycee terus tinggal dalam kesedihan dan kesunyian.

Hanya wajah Phillip dan Nancy yang ditatapnya. Selepas beberapa tahun, Jaycee menerima hadiah sebuah televisyen untuk hiburannya tetapi tidak dibenarkan menonton hiburan.

Setelah lama menjadi hama seks, Jaycee mula mengasingkan fikiran dan dirinya dari dunia luar yang dianggap sudah tidak wujud sehingga berasa takut.

Setiap hari Philip akan menceritakan dengannya mengenai ketakutan dan kekejaman jika dia melarikan diri.

Adakalanya Phillip mengenakan baju pelik kepada Jaycee mengikut selera nafsu seksnya malah mendakwa bahawa Jaycee perempuan kiriman Tuhan untuk dirogol dan diratah setiap hari.

Bahkan isteri Philip yang kasihan melihat penderitaan Jaycee memohon maaf atas perbuatan suaminya namun realitinya — kedua-duanya manusia itu berjiwa syaitan. Sehingga April 1994, Jaycee yang mencecah usia 13 tahun mengandung.

Pada waktu tersebut, Jaycee masih tidak memahami kaitan antara hubungan seks dengan kehamilan.

Phillip dan isteri menyambut kelahiran bayi itu sendiri di rumah. Jaycee melahirkan anak perempuan pertamanya pada usia 14 tahun.

Meskipun anaknya itu darah daging Phillip, Jaycee tetap berasa gembira kerana akhirnya di dalam bilik segi empat itu, dia ada teman baru. Pada 1997, anak perempuan kedua Jaycee dilahirkan. Jaycee membesarkan kedua-dua perempuannya dengan penuh rasa kasih sayang dan memberikan mereka berdua pendidikan asas biarpun dia sendiri hanya belajar setakat usia 11 tahun.

Jaycee ditukarkan namanya sebagai Alyssa dan terpaksa memain peranan sebagai kakak kepada anak-anaknya. Dalam semua cerita kehidupan, biasa kejahatan akan terbongkar di akhir perenggan.

Pada 24 Ogos 2009, Phillip pergi ke sebuah balai polis Universiti of California bersama-sama kedua-dua anak Jaycee untuk memohon kebenaran menganjurkan program keagamaannya di kawasan kampus tersebut.

Phillip kemudian disuruh oleh salah seorang kakitangan di situ untuk datang semula pada keesokan harinya sebagai proses janji temu.

Seterusnya, anggota polis membuat semakan latar belakang Phillip selepas mendapati budak perempuan bersama-sama Philip agak mencurigakan. Menerusi semakan yang dibuat, ternyata Phillip pesalah laku seksual dalam pemantauan akibat kesalahan menculik dan merogol.

Apabila tiba hari janji temu untuk upacara agama, Phillip dan Jaycee ditahan dan disoal siasat secara berasingan. Jaycee mendedahkan identiti sebenar dengan menulis namanya pada sehelai kertas. Phillip pula membuat pengakuan tentang penculikan Jaycee selepas ditekan oleh anggota polis secara berterusan.

Dengan penangkapan Phillip, penderitaan Jaycee dan dua anaknya yang berusia 15 dan 11 tahun ketika itu berakhir.

Jaycee menerima pampasan US$1 juta daripada kerajaan atas sebab kecuaian penyiasatan, namun ia tidak dapat mengembalikan 18 tahun masa Jaycee yang diragut dalam keadaan tidak sepatutnya.

Sudah pasti kita tidak mahu ia berlaku di negara ini. Mungkin kita boleh ambil sisi berita palsu itu sebagai langkah berjaga-jaga. Jangan pandang ringan kes penculikan kanak-kanak.

Walaupun kita bukan negara yang melaporkan angka tertinggi penculikan antara semua negara, namun statistik 2012 hingga 2017, terdapat 482 kes kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan hilang di Malaysia.

Dengan mengambil statistik pada 2017 pula, boleh dikatakan purata empat kanak-kanak hilang untuk setiap hari di negara ni.

Bagaimanapun, angka ni termasuk dengan kes lain seperti remaja lari dari rumah, kanakkanak yang diculik untuk tebusan, pemerdagangan kanak-kanak, ataupun eksploitasi seksual.

Walaupun ada yang balik dalam keadaan selamat, tapi ada juga yang sampai sekarang masih lagi belum ditemui. Ibu bapa masih tetap berjaga-jaga kerana malang tidak berbau.

Suara Sarawak