ASAJAYA: Kerajaan Sarawak memutuskan tidak memberikan subsidi kepada rakyat dari luar negeri Sarawak untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) November ini.

Menteri Pelancongan, Seni Kreatif dan Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana tindakan tersebut boleh menyalahi undang-undang pilihan raya yang mana rakyat adalah dibayar untuk turun mengundi.

“Tetapi sememangnya kita menggalakkan rakyat untuk balik mengundi sekiranya mereka berada dalam kawasan Malaysia.

BERCAKAP… Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah (Kanan) ditemui pemberita selepas melancarkan acara pertama Kembara Cabaran Sarawak di Kampung Beliong.

“Untuk mereka yang di luar Malaysia boleh mendaftar, kemudian mengundi melalui pos undi,” katanya ketika ditanya pemberita mengenai pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang dibenarkan balik untuk mengundi.

Mengulas lanjut, Karim menegaskan rayuan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) ekoran aduan kenaikan harga tiket kapal terbang baru-baru ini.

“Pemimpin dari Sarawak telah mengemukakan aduan, jadi MAVCOM yang akan menentukan harga tiket bersama operator penerbangan.

“Mereka akan membuat atur cara yang diperlukan menentukan harga atau jumlah penerbangan agar turun atau harga minima untuk memudahkan rakyat Sarawak untuk balik mengundi,” ujarnya.

Suara Sarawak