Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri

KUCHING: Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan sebagai akaun keldai dengan dituduh di mahkamah.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, trend jenayah komersial di negeri kini menyaksikan jenayah akaun keldai semakin berleluasa digunakan oleh penjenayah untuk menerima wang hasil daripada aktiviti penipuan dalam talian dan menerusi media sosial.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2022, seramai 1,221 suspek keldai akaun telah ditangkap Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak.

“Daripada jumlah itu, seramai 914 individu telah dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan kerana membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk aktiviti jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Azman berkata, siasatan polis menunjukkan individu yang membenarkan akaun bank mereka digunakan oleh penjenayah sebenarnya mengetahui bahawa mereka tidak boleh mendedahkan sebarang maklumat akaun kepada mana-mana pihak.

Beliau berkata, keldai akaun boleh dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, katanya, individu atau syarikat dinasihatkan agar segera menutup akaun bank mereka sekiranya tidak lagi mempunyai kawalan ke atas akaun bank agar ia tidak digunakan untuk kegiatan menyalahi undang-undang.

Dalam pada itu, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek melalui check Scammer CCID atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

Selain itu, boleh berhubung dengan CCID Scam Response Center melalui talian 03-2610 1559 dan 03-2610 1599 atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Infoline di talian 013-211 1222 (Whatsapp/SMS) bagi mendapatkan nasihat atau menyalurkan maklumat berhubung kes-kes jenayah dalam talian.

Hubungi National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda merupakan mangsa penipuan siber (Macau Scam, Love Scam, E-dagang, pinjaman tidak wujud dan sebagainya) sekiranya anda baharu sahaja membuat transaksi pindahan wang ke mana-mana akaun keldai/ sindiket penipuan.

Suara Sarawak