Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Perasmian Persidangan Asia ke-12 mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB12) di BCCK, di sini, hari ini.

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempertingkatkan penggunaan sumber asli tempatan yang mampan selaras dengan perkembangan bidang bioteknologi pertanian dan keselamatan makanan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ia termasuk meningkatkan penggunaan sumber tempatan daripada input pertanian, ternakan, produk marin serta akuakultur bernilai tinggi.

“Tambahan pula, ekosistem makanan masa depan dan produk bernilai tinggi bakal menyaksikan penghasilan makanan super dan baharu menggunakan teknologi baharu yang lebih mampan.

“Selain itu, bioteknologi juga memainkan peranan penting dalam keselamatan kesihatan negara untuk mengatasi penyakit berjangkit dan tidak berjangkit,” katanya.

Adun Tarat itu berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Asia ke-12 mengenai Bakteria Asid Laktik (ACLAB12) di BCCK, di sini, hari ini.

Beliau turut menggalakkan para pemain industri untuk bersama membangunkan inisiatif berimpak tinggi bagi menghasilkan produk makanan baharu dan industri makanan tambahan yang diproses.

“Ini adalah sektor pembuatan makanan hasil tinggi dan kami memerlukan kerjasama serta sokongan sektor swasta bagi memaksimumkan potensi produk probiotik dan makanan super yang dibangunkan daripada penyelidikan dan teknologi berasaskan bakteria asid laktik (LAB),” ujarnya.

Persidangan selama dua hari secara fizikal selepas pandemik Covid-19 tersebut disertai sejumlah 150 delegasi dari lebih 13 negara termasuk China, Indonesia, Iran, Itali, Jepun, Malaysia, Mongolia, Nigeria, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam dan Thailand.

Suara Sarawak