KUCHING: Pengusaha dan pembekal perniagaan bumiputera perlu menguasai penggunaan perkhidmatan secara dalam talian untuk memastikan sektor perniagaan di Sarawak selari dengan pembangunan teknologi digital.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemahiran tersebut (perniagaan dalam talian) penting bagi mewujudkan penghasilan idea baharu dalam konsep perniagaan terkini.

“Inilah antara sebabnya kursus ini dijalankan kerana kita melihat konsep perniagaan kini rata-ratanya adalah dalam talian misalnya perkhidmatan Shoppee, semua orang dapat memakainya.

MERIAH… Fadillah (tengah) bersama-sama para peserta program Pemerkasaan Kontraktor dan Usahawan Bumiputera di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)

“Jadi bagaimana untuk kita berfikir idea baharu termasuk pembaharuan perkhidmatan pelanggan, mewujudkan aplikasi berkaitan, perkhidmatan akaun, atau bilangan rumah dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Program Pemerkasaan Kontraktor dan Usahawan Bumiputera di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), hari ini.

Tambahnya, kolaborasi di antara usahawan, pihak pembekal dan juga wakil rakyat perlu ditingkatkan dalam usaha mengembangkan perniagaan khususnya berkaitan produk tempatan.

Sementara, program ini merupakan siri kedua inisiatif Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dengan kerjasama Think Big Training dibawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak.

Objektif program adalah memberi pendedahan kepada bumiputera yang berminat menjadi kontraktor dan pembekal perkhidmatan tentang asas keusahawanan dan pentingnya ilmu, sistem, dan kuasa tindakan dalam perniagaan.

Suara Sarawak