Tragedi dayung patah

ASAJAYA: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan turun ke laut di Kampung Semera, di sini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada jam 6.29 pagi hari ini.

Katanya kejadian berlaku ketika mangsa, Faddrul Razie Zaini, 30, bersama-sama lima orang nelayan lain dalam perjalanan turun ke laut bagi menangkap ikan dengan menaiki sebuah perahu kira-kira jam 5 pagi hari ini.

“Kejadian dikatakan berlaku setelah dayung yang dipegang oleh mangsa telah patah menyebabkan mangsa terjatuh ke laut.

“Usaha menyelamat oleh rakan mangsa bagaimanapun gagal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya semasa kejadian, cuaca adalah dalam keadaan baik dengan jarak lokasi kejadian dengan pantai adalah dianggarkan dua batu nautika.

Justeru, katanya usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini sedang giat dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dengan bantuan nelayan tempatan serta penduduk kampung, dan turut disertai oleh ahli keluarga mangsa.

Setakat ini, mangsa masih belum dijumpai.

Suara Sarawak