Semua barangan dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

MIRI: Polis menahan tujuh lelaki warga tempatan menerusi Op Bersepadu selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Tudan Lutong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Miri.

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, polis menjumpai tangki minyak berisi minyak diesel, dua buah lori, dua buah kenderaan jenis pacuan empat roda dan dua buah van yang masing-masing sedang melakukan pemindahan minyak.

“Suspek yang diperiksa gagal mengemukakan permit khas KPDNHEP untuk menjalankan aktiviti berkenaan.

“Semua kenderaan serta minyak dirampas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Miri dan diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan lanjut.

“Jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM 255,937 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai untuk tidak terlibat atau bersubahat dalam aktiviti mencuri diesel bersubsidi.

Suara Sarawak