Datuk Gerald Rentap.

KUCHING: Jurulatih yang dilihat gagal menyerlah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN Kuala Lumpur 2022 tidak terkecuali berdepan situasi untuk ditukar.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan, pendekatan tersebut turut berada dalam radar pihaknya.

“Bagaimanapun, kita perlu melihat atau meneliti laporan daripada hasil bedah siasat semua pasukan yang terlibat dalam temasya berprestij negara itu terlebih dahulu.

“Memang perlu ditukar jurulatih yang dilihat kurang menyerlah,” ujar beliau ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Pertandingan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa, Sarawak 2022, di sini, hari ini.

Katanya, langkah tersebut penting dalam usaha memperkasakan serta mengembalikan prestasi hebat setiap sukan yang dikendalikan jurulatih berkenaan.

Tambah Gerald, pihaknya juga akan melihat semula tatacara latihan setiap sukan yang ada.

Sambil itu, Gerald berharap Pusat Prestasi Tinggi (HPC) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dapat berfungsi pada tahun depan untuk menambah baik persediaan atlet mencakupi pelbagai aspek.

Gerald sebelum itu turut mengakui proses bedah siasat membabitkan semua pasukan yang terlibat dengan Sukma XX MSN Kuala Lumpur 2022 akan diadakan pada 24 Oktober ini.

Suara Sarawak